
SYAKIRA menarik nafas panjang sebelum memulakan berbicaraannya yang serius ini. Di tahu, apa yang bakal dia sampaikan ini bakal membuatkan Puan Kinah terkejut besar lagi. Ye, lagi. Silap haribulan, maknya boleh terkena serangan jantung mendengar apa yang mahu dia sampaikan ini Tetapi inilah keputusan yang sudah dia fikir masak-masak.
Sebelum dia bersuara, sempat dia memandang wajah mak dan ayahnya; Encik Syakir. Dapat dilihat dengan jelas wajah pasangan suami isteri itu penuh tanda tanya.
Mengenali personaliti anak yang jarang mahu mengadakan perbincangan serius ini, Puan Kinah berselawat sebanyak yang boleh. Naluri sebagai ibunya kuat menyatakan anak daranya ini pasti mahu mengumumkan hal putus tunang lagi. Sama seperti sebelum ini.
Keadaan, situasi, masa bahkan hari juga sama.
Sejak sembilan kali Syakira putus tunang, belum pernah ada berita serius lain yang mahu dibincangkan selain dari hal putus tunang. Kerana itu, Puan Kinah dengan mudah dapat agak apa yang bakal disampaikan oleh si dara.
"Mak... ayah... Kira ada benda nak cakap ni," beritahu Syakira secara lambat-lambat.
Puan Kinah mengerutkan dahinya. Matanya merenung lama anak mata Syakira yang tidak berani bertentang mata dengan anak matanya.
"Apa dia?" soal Encik Syakir.
"Kira... dah dapat kerja."
"Dapat kerja? Bukan ke kamu dah kerja?" soal Puan Kinah kehairanan. Mendengar berita itu, hati tuanya berasa lega sedikit. Sekurang-kurangnya anaknya tidak menyampaikan berita yang memang boleh menyebabkan dia masuk wad.
"Kira... dah berhenti kerja, mak," jujur Syakira memberitahu.
"Berhenti? Kenapa!"
Encik Syakir menggengam tangan isterinya. "Bawa bertenang. Kita dengar dulu apa yang Kira nak cakap. Jangan asyik nak tinggikan suara je, awak tu dah la ada darah tinggi."
Syakira mengukir senyum tatkala mendengar apa yang ayahnya katakan. Ayahnya itu memang sentiasa menyokong segala keputusannya dan sentiasa memahami situasi yang dihadapai olehnya. Buktinya, sepanjang dia memutuskan pertunangan, Encik Syakirlah orang yang paling menyokong sekali. Aksi si ayah menyokong keputusan si anak itu, lebih hebat berbanding aksi menyokong pasukan bola sepak yang diminatinya.
"Tadi Kira cakap, Kira dah dapat kerja baru, kan?"
Syakira mengangguk dengan pertanyaan si ayah.
"Kenapa Kira berhenti kerja dari tempat kerja sebelum ni?" soal Encik Syakir dengan lembut.
"Sebab... sebab... sebab..."
"Sebab?" Encik Syakir menjongketkan kening kanannya ke atas.
"Sebab... Rusdi... kut."
"Kenapa dengan Rusdi?" soal Puan Kinah.
"Kami dah putus tunang."
"Hah!" bulat mata Puan Kinah mendengarnya. "Ulang sekali lagi."
"Kira dan Rusdi... putus tunang."
"Hey Kira! Kau nak malukan aku lagi, ye? Kenapa kau putus dengan Rusdi tu? Kau lupa ke, siapa yang banyak bantu keluarga kita ni, Kira oi! Ni, majlis kamu ni tinggal sebulan je lagi. Mana mak nak letak muka ni, Kira! Kamu ni!!!"
"Sabar... kita dengar dulu apa yang Kira nak cakapkan," pujuk Encik Syakir.
"Abang... anak kita..."
"Sabar. Ujian."
"Ujian apanya! Dah dekat sepuluh kali anak kita ni putus tunang! Sepuluh kali bang oi! Mana nak letak muka ni bang! Malu tahu, anak kita ni dah nak berusia 30 tahun tapi tak kahwin-kahwin! Asal tunang je putus. Asal putus je, tunang. Tak sempat nak nikah!"
"Bawa bertenang."
Puan Kinah merenung tajam si anak dara yang duduk bersila di atas sofa berantai dua. "Apa yang tak kena dengan si Rusdi tu? Baik budaknya, berpendidikan, ada kerja bagus, duit pun ada, apa yang kurang lagi?" soal Puan Kinah dengan emosinya yang tertekan.
Bagaimana dia tidak tertekan dengan Syakira. Asal tunang sahaja, putus. Sudah sepuluh kali bertunang, akad nikah sekali tetap tidak pernah terjadi.
Dek anak daranya asyik putus tunang, anaknya dikata jiran tetangga pembawa malang. Bakal suami meninggal sebelum sempat menikah la, tunang kena tangkap basah la. Ada sahaja yang tidak kena.
Syakira mengeluh berat.
"Cakap Kira! Cakap!"
'Mak ni... asyik nak membela si Rusdi je. Aku ni anak mak ke, Rusdi tu anak mak? Jap, kalau Rusdi anak mak, aku mana boleh kahwin dengan dia, kan? Kira macam Rusdi tu abang aku lah, kan?' Sempat lagi si Syakira bermonolog mengenai hal itu.
Bukan apa, dalam banyak-banyak lelaki yang dia bawa Rusdilah yang paling maknya tatang bagai anak sendiri. Sehingga dia sebagai anak kandung Puan Kinah cemburu dengan layanan Puan Kinah yang terlebih-lebih pada Rusdi.
"Awak ni pun... duit bukan boleh beli segalanya."
"Memang duit tak boleh beli segalanya tapi duit diperlukan dalam dunia sekarag ni, bang oi. Nak masuk tandas pun sekarang dah kena bayar tau!"
"Mana ada. Ni..." Encik Syakir menunjuk ke arah pintu tandas yang berdekatan dengan dapur. "free je masuk. Tak pernah kena bayar pun," Encik Syakir cuba berseloroh.
"Abang!" Puan Kinah menampar lembut lengan kiri si suami. Geram betul dia dengan perangai anak tunggal dan suaminya ini.
"Okey, okey, okey. Abang serius." Encik Syakir mempamer riak wajah yang serius saat memandang wajah Syakira. Baru si ayah mahu berhujah, Syakira sudah ketawa sambil menutup mulut.
"Ayah! Tak payah buat acah serius. Muka ayah kelakarlah bila serius." Syakira ketawa geli hati.
Melihat si anak dara ketawa, Encik Syakir turut ketawa sekali.
Puan Kinah melepaskan keluhan berat dengan telatah dua beranak ini. Ada juga dia mogok masak sekejap lagi. Tengah perbicangan serius, boleh pula suami dan anaknya bergurau sesama sendiri? Sabar je la.
"Kira dapat kerja sebagai apa? Dekat mana?" soal Encik Syakir selepas agak lama juga dia ketawa tadi. Itupun ketawanya mati saat terpandang wajah si isteri di sebelah. Kalau tak terpandang, memang sampai ke malam dia dan Syakira ketawa.
"Kira dapat offer kerja sebagai Pembantu Pengurus Kewangan dekat... Perak."
"Perak!" kali ini Puan Kinah sudah berdiri akibat terlalu terkejut dengan berita itu. "Maksudnya... kamu kena pergi Perak?"
Syakira mengangguk.
"Allahu akhbar!" Puan Kinah menekan dadanya yang tiba-tiba sakit.
No comments:
Post a Comment