Thursday, May 20, 2021

Hadiah Di Bulan Ramadan - TEASER 1

 


TENGKU YUSUF meletakkan beg bagasi yang dibawanya ke lantai Pejabat Rumah Anak Yatim. Air mata yang bergenang, ditahan agar tidak tumpah. Tangan kiri yang memimpin tangan si anak, digengam erat.

Matanya melekat pada wajah seorang wanita dihadapannya dengan perasaan hiba. "Puan, ini... anak saya. Tengku Zara Tengku Yusuf. Tolong saya jaga Zara baik-baik, puan."

Usai Tengku Yusuf berkata sedemikian, cecair jernih yang bertakung di tubir mata mula mengalir. Meskipun otak melarang perbuatan itu, namun itulah yang terjadi dek memikirkan kesedihan yang bakal berpisah dengan si puteri kesayangan.

Wanita yang berdiri di hadapan Tengku Yusuf mengangguk. Senyum manis diberikan kepada kerabat itu. Mahu kerabat itu tetap kuat semangat atas keputusan yang sudah diambil.

Tengku Zara yang mendengar apa yang dikatakan oleh Tengku Yusuf turut menitiskan air matanya. Dia bukan budak kecil yang tidak mengerti maksud kata-kata papanya itu. Dia faham walaupun usianya baru sahaja sepuluh tahun.

"Papa... Zara bukan anak yatim."

Mendengar apa yang dikatakan si anak, Tengku Yusuf merendahkan badannya. Kedua-dua tangannya mengusap wajah si anak penuh kasih.

"Sampai hati papa nak suruh Zara tinggal sini. Zara kan ada papa. Zara bukan anak yatim, pa!"

Pilu hati seorang papa mendengar anak kecilnya berkata begitu. Lantas tubuh kecil itu dipeluk. "Maafkan papa sayang." Tengku Yusuf mengusap belakang si anak dengan penuh kasih. "Papa terpaksa. Papa minta maaf."

"Papa tak sayang Zara!" Tengku Zara merengangkan pelukan antara mereka. Tajam matanya memandang wajah Tengku Yusuf.

"Zara benci papa! Zara benci papa!" Tengku Zara menumbuk dada si papa dengan sekuat hatinya. "Zara benci papa!"

Tengku Yusuf cuba menangkap penumbuk si anak. "Papa sayang Zara." Anak mata jantannya merenung penuh kasih sayang anak mata hitam milik Tengku Zara.

"Tipu!" jerit Tengku Zara.

"Papa tak tipu." Tangan tua Tengku Yusuf menarik tubuh kecil si anak ke dalam dakapan. "Papa sayang Zara. Sayang sampai syurga."

"Papa tipu!"

Tengku Yusuf sudah tidak mampu menahan rasa sedihnya. Dia mencium sekilas pipi kanan si anak sebelum melangkah laju ke arah kereta yang dinaikinya tadi.

"Papa! Tunggu! Jangan tinggalkan Zara!" Tengku Zara mula mengejar.

Puan pengetua yang melihat adegan perpisahan antara si ayah dengan anak itu, mengelap air matanya yang sudah menitik.

Inilah pengalaman pertamanya melihat seorang ayah kandung menghantar anak kandungnya ke rumah seperti ini. Tetapi dia yakin, lelaki itu pasti ada sebab yang kukuh melakukannya. Sama seperti ibu bapa kanak-kanak di sini.

Tidak semua kanak-kanak di sini merupakan anak yatim piatu. Ada di antara mereka tinggal di sini kerana ibu bapa mereka kurang berkemampuan menjaga dan mendidik mereka.

"Papa!" Tengku Zara berlari semakin laju. Mengejar si papa yang semakin jauh darinya.

"Kunci pintu," arah Tengku Yusuf kepada pemandunya sebaik sahaja masuk ke dalam perut kereta. Tidak mahu anaknya masuk ke dalam kereta.

Tengku Zara terus mengejar dan mengejar.

Di dalam kereta, Tengku Yusuf menekup mukanya dengan kedua-dua tapak tangannya. Dia berperang dengan perasaan kasih dan sayangnya untuk Tengku Zara.

Namun sekiranya dia tidak melakukan ini, hati anaknya pasti akan bertambah terluka.

"Tengku, kita nak gerak ke?" soal si pemandu.

Tengku Yusuf mengangkat wajah. Jelas kelihatan basah seluruh wajahnya dek air mata. Mata dan hidungnya juga sudah mula kemerahan.

"Papa..." Tengku Zara mengetuk cermin kereta di tempat duduk Tengku Yusuf. "Papa... jangan tinggalkan Zara. Papa..."

Tengku Yusuf mengelap laju air matanya. Dia menoleh ke arah cermin. Sayu hatinya melihat wajah anaknya menangis. Tanpa sedar, dia terus menarik penarik kunci pintu lalu membuka pintu kereta.

"Zara..." Tengku Yusuf terus menarik tubuh si anak.

"Papa, bawalah Zara balik. Zara janji, tak nakal-nakal. Zara janji, Zara akan baik dengan mama. Tolonglah papa. Zara tak nak tinggal sini." Tengku Zara merayu dengan intonasi suara yang mendayu-dayu. Mengharapkan papanya berubah fikiran.

Air mata Tengku Yusuf seakan tidak mahu berhenti. Saat ini, dia teringat akan kata-kata doktor peribadinya. Pantas dia mencium pipi kiri dan kanan si anak. Anak mata Tengku Zara dipandang penuh rasa cinta. Senyuman manis diukir.

"Papa pergi dulu. Ingat, papa dan mama sayang Zara. Papa mintak maaf, sayang. Papa minta maaf sangat-sangat."

Tengku Zara menggeleng laju. Tangan kecilnya memegang erat lengan Tengku Yusuf.

Tengku Yusuf memberi isyarat kepada Pengetua Rumah Anak Yatim yang berada tidak jauh dari mereka. Dia tidak betah berlama lagi. Dia mesti pulang dan selesaikan urusan lain selama dia masih diberi izin untuk bernafas.

Melihat isyarat itu, pengetua tersebut terus mendapatkan Tengku Zara.

Tengku Yusuf menggunakan kesempatan ini untuk melepaskan gengaman si anak dari lengan lalu masuk ke dalam perut kereta.

"Papa! Papa!"

"Jalan."

"Tapi, Tengku..." Pemandu Tengku Yusuf cuba membantah. Kesian dia melihat anak majikannya meronta menangis di luar.

"Jalan!"

"Baik, Tengku."

"Papa!" jerit Tengku Zara tatkala melihat kereta papanya mula bergerak meninggalkan kawasan Rumah Anak Yatim.

"Papa! Papa! Zara benci papa! Zara benci papa!"



^_^ Terima Kasih Daun Keladi, Kalau Free Datanglah Lagi ^_^

No comments:

Contact Ai Indah


Copyright© All Rights Reserved aiindahsyahindah.blogspot.my