
"BERAMBUS!"
Tengku Zara menahan dirinya dengan kedua-dua tangan untuk menghalang badan serta wajahnya menghempap lantai di pintu utama Vila Cahaya.
Dia mengertap bibirnya dengan kuat. Mengumpul segala kekuatan yang ada. Orang yang menghalaunya keluar dari rumahnya sendiri ini perlu diberi pelajaran!
Dipandang tajam wajah gadis muda di hadapannya sebaik sahaja dia berdiri.
"Rumah aku ni, bukan rumah kebajikan masyarakat! Berambus!"
Tengku Zara mengambil beg bagasinya yang turut dicampak keluar oleh gadis itu tadi. Senyum sinis diberikan. Langkah kaki kembali mara ke depan. Melangkah dengan berani untuk masuk ke dalam Vila Cahaya.
"Eh!" Gadis yang menghalau Tengku Zara cuba menghalang masuk.
"Tepilah!" herdik Tengku Zara sambil menolak kuat tubuh kurus gadis muda yang cuba menghalaunya buat sekian kali.
Tengku Zara meluruskan jari telunjuknya ke arah gadis yang terjatuh di lantai dek perbuatannya. "Untuk pengetahuan kau, Vila Cahaya ni... aku yang punya! Vila ni tanda cinta mama dan papa aku! Kau yang sepatutnya berambus dari sini! Berambus!"
"Hey!" Gadis yang terjatuh itu berdiri. "Suka hati kau je nak halau aku. Ini rumah aku!"
"Memang!" Dengan berani tanpa ada rasa gentar, Tengku Zara membalas kata.
"Kurang..."
"Apa bising-bising ni!" Seorang lelaki yang berkemeja biru cair yang baru turun dari tingkat atas menghampiri dua gadis yang bertengkar di muka pintu utama Vila Cahaya.
Gadis yang sudah menaikkan tangganya ke udara, menurunkan tangannya sebaik sahaja lelaki yang tiba-tiba bersuara itu menghampiri.
"Abang, tengok perempuan ni." Gadis yang menghalau Tengku Zara menghampiri lelaki berkemeja. "Entah dari mana datang, suka hati je nak masuk rumah kita. Lepas tu ada hati nak halau Adra."
"Excuse me. Ini rumah aku."
Tengku Adra memandang Tengku Zara dengan tajam. "Ini rumah aku!"
Lelaki berkemeja biru memandang wajah Tengku Zara. Satu senyuman terukir cantik tatkala matanya melihat gadis di hadapannya ini ada memakai rantai emas yang sangat dia kenal.
"Kakak."
"Kakak?" Tengku Adra memandang lama wajah abangnya.
Tengku Zara mengerutkan dahi mendengar lelaki itu memanggilnya 'kakak'. "Khairi? Are you... Tengku Khairi?"
Lelaki berkemeja biru cair mengangguk.
No comments:
Post a Comment