Wednesday, May 19, 2021

My Mrs Seventeen - BAB 13

 "TAN SRI dengan Puan Sri tak patut buat Bella macam tu," rungut Maya. Dia sedang membantu Seri dan Mak Kalsom menyediakan makanan tengah hari.

"Syuhhh..." Mak Kalsom meletakkan jari telunjuk di bibir. "Kalau Tan Sri atau Puan Sri dengar, nahas kamu," nasihat Mak Kalsom. Maya ni kalau bercakap... tak kira siang atau malam. Tak pandang kiri, kanan!

"Masalahnya betul apa yang saya cakap," Maya mengupas kulit bawang kecil.

"Ye lah Mak Som, sebagai pekerja kan... kekadang Seri ni serba salah tau dengan Bella tu. Nak bagi tahu, takut Tan Sri dengan Puan Sri salah faham. Tak bagi tahu, sedih pulak rasa hati ni," Seri mengacau air sirap.

"Tapi kita ni pekerja je. Kita ni dibayar gaji untuk jaga rumah ni, jaga Kasih tu. Pada Mak Som selagi Kasih tu tak buat salah besar, kita diam je lah," nasihat Mak Kalsom.

"Nak diam macam mana Mak Som? Solat tak tahu, puasa lagi lah. Ke laut dah jadinya. Bella tu apa yang dia tau? Agaknya yang dia tahu dia beragama Islam tapi tak tahu Islam tu apa," Maya meletakkan bawang yang dikupasnya ke dalam mangkuk. Satu-satu sehingga hampir sepuluh biji bawang yang sudah dibuang kulitnya.

"Kita berdoa je lah supaya akan hadir sinar hidayah dalam hati Tan Sri, Puan Sri dengan Kasih. Lagipun kita ni orang luar. Tak elok kita masuk campur," Mak Kalsom bangun dan mendekati dapur masak.

"Amboi, amboi, amboi...." Puan Sri Ayu melangkah ke dapur.

Semua yang berada di dapur sudah kecut perut.

"Saya bayar gaji awak semua untuk mengumpat saya dan Tan Sri, ke?" sinis sekali kata Puan Sri Ayu.

Maya berdiri. "Puan Sri, kami berempat ni boleh je ajar Bella pasal solat dan puasa. Tapi saya tak faham kenapa itu menjadi larangan bagi kami," Maya menyuarakan pendapatnya.

"Kamu tak tahu apa-apa, Maya. Lagipun kamu tu ustazah ke?" Puan Sri Ayu bersuara.

"Memang saya tak tahu apa-apa. Memang saya bukan ustazah. Tapi kami yang duduk satu rumah ni... dapat tempias dosanya."

"Tempias dosa? Sebab apa? Sebab budak tu tak tahu apa-apa pasal agama, macam tu?" tanya Puan Sri Ayu.

Maya hanya berdiam.

"Maya, awak dengar sini," Puan Sri Ayu menundingkan jarinya ke arah Maya.

"Saya dengan suami saya hantar dia pergi sekolah. Jadi pandai-pandai dialah nak hidup macam mana. Nak belajar agama ke, apa ke sekali pun. Duit tiap-tiap bulan saya masukkan dalam akaun dia, gunalah. Lagipun bukan sikit duit yang saya bagi dekat dia," Puan Sri Ayu menahan rasa marah.

"Duit bukan segalanya, Puan Sri." Maya memberitahu dengan tegas.Kalau tidak kerana amanah mak dan kakaknya di kampong, sudah lama dia angkat kaki dari rumah besar ini.

"Duit segalanya, Maya. Dengan duit lah awak boleh guna untuk pembedahan mak awak dekat kampong, kan?"

Maya terdiam. Puan Sri nak mengungkit.

"Jadi awak jangan sesekali nak masuk campur dalam urusan ni. Yang lain pun sama. Sekali lagi saya tahu ini jadi topik perbincangan awak semua, nahas!" ugut Puan Sri Ayu sebelum beredar dari dapur.

Maya duduk semula. Dia ingat aku hadap sangat ke dengan kerja ni? Aku buat semua ni sebab amanah. Dasar orang kaya yang tahu mempergunakan orang susah je.

"Maya, Mak Som dengan Pak Mail ni dah lebih tujuh belas tahun dah kami kerja dekat sini. Mak Som kenal sangat Puan Sri tu. Kalau dia dah bagi amaran, janganlah kamu cari masalah," tambah Mak Som.

"Kita semua kesiankan Bella, Maya. Tapi nak buat macam mana, kita mampu berdoa je. Kalau kita kena pecat, siapa nak jaga Bella tu? Kalau dapat yang baik tak pe, kalau yang macam dulu? Kamu nak?" Mak Som mengingatkan Maya akan hal orang gaji sebelum ini.

Maya menggeleng. Walau apapun terjadi dia harus bertahan dalam rumah tu. Demi amanah dan demi kasihnya kepada Kasih Nabila.



^_^ Terima Kasih Daun Keladi, Kalau Free Datanglah Lagi ^_^

No comments:

Contact Ai Indah


Copyright© All Rights Reserved aiindahsyahindah.blogspot.my