Wednesday, May 19, 2021

My Mrs Seventeen - BAB 2

NABILA termenung di balkoni biliknya. Hidupnya sudah seperti di dalam sangkar emas. Dia boleh memiliki apa sahaja yang dia mahu. Tapi tak semua perkara dalam dunia ni boleh dibeli. Kerana ada sahaja benda yang percuma tapi susah sekali untuk dia mendapatkannya.

Hari ini dia diarahkan untuk tidak pergi ke sekolah. Alasannya? Kerana kes yang dikhabarkan oleh gurunya kepada orang tuanya.

Ye, dia bergaduh lagi. Tapi dia lagi teruk kena pukul dari pelajar lain sebenarnya. Tapi tiada seorang pun yang tahu. Maklumlah dia sembunyikan luka di badannya. Jadi tiada siapa yang tahu bahawa terdapat luka di belakang badannya kerana dipukul oleh pelajar perempuan seramai sepuluh orang tu!

Sepuluh orang melawan dirinya seorang diri. Sudah terang lagi bersuluh, dirinya pasti akan kalah. Pelajar yang membulinya pula kebanyakkannya anak kepada guru di sekolahnya. Sudah pastilah mereka mendapat pembelaan daripada ibu bapa mereka berbanding dirinya.

Lagipun sebenarnya bukan dirinya yang memulakan pergaduhan. Orang lain. Dia telah difitnah. Ye, tapi semua orang disekelilingnya mempercayai fitnah tersebut. Kerana apa? Salah seorang yang membulinya membuat 'drama' di hadapan pengetua sekolah mengatakan dirinya hampir dipukul dengan teruk oleh Nabila. Sedangkan, sebenarnya Nabila paling teruk dipukul, bukan pelajar tersebut.

Dia keji dan dimaki hanya kerana namanya berbinti Abdullah! Dan yang membuatnya bertambah marah, nama mamanya dikaitkan bersama. Siapa yang mampu bertahan? Salahkah sekiranya dia ingin mempertahankan mamanya? Yang dihina dan dicaci oleh orang? Dia sudah cukup bersabar dan berdiam diri atas semua hal. Tapi masih juga ada yang bertindak kurang ajar kepadanya.

Iya, memang betul dia bersalah. Tapi dia melakukannya bersebab, bukan suka-suki. Arghhh! Tiada yang akan mengerti. Rintih hati Nabila.

"Mama..." panggil Nabila perlahan. Hatinya tersentuh. Tanpa sedar setitik demi setitik air mata jatuh berguguran. Namun cepat sahaja dia mengelap air matanya yang mengalir itu.

Dia mempunyai mama, tapi dia tidak pernah memanggilnya mamanya dengan gelaran 'mama'. Dia tidak mengerti kenapa wanita yang dianggapnya 'mama' yang mengandung dan melahirkannya tidak membenarkannya memanggil 'mama'.

Tujuh belas tahun dia hidup. Selama itu dia memanggil mamanya dengan gelaran 'aunty' dan suami mamanya pula 'uncle'. Dia tahu suami mamanya itu bukan ayah kandungnya kerana dia berbintikan dengan nama orang lain.

Sudahlah tidak dipedulikan oleh orang tuanya, dirinya pula sering ditinggalkan seorang diri dalam rumah banglo tiga tingkat itu. Mujurlah ada Mak Kalsom, pengasuhnya, dua orang gajinya, Maya dan Seri dan dua orang pemandu, Shuib dan Pak Mail. Merekalah teman duka dan laranya.

"Bella..." panggil seseorang.

Nabila memusingkan badannya ke belakang. "Ye ada apa kak?"

"Akak nak keluar ni, nak ikut?" Seri mengajak dengan suara yang lembut.

Nabila mengangguk. "Kejap, Bella pergi siap dulu. Akak tunggu tau?" Nabila bangun dan menghampiri Seri.

"Ok, akak tunggu kat bawah."

Nabila mengangguk.

Di dalam hidupnya hanya Mak Kalsom sahaja yang memanggilnya 'Kasih', yang lain memanggilnya 'Bella'. Kerana apa? Kerana bagi Mak Kalsom, nama 'Kasih' itu unik, nama 'Bella' pula seperti budak yang mengada-ngada.

"Kak... Bella dah siap," ujar Nabila dengan ceria sejurus sahaja dia sampai di ruang tamu.

"Jom. Pak Mail dah tunggu tu."

"Kak... kita nak pergi mana?" tanya Nabila. Mereka dalam perjalanan menuju ke kereta di garaj.

"Bella nak pergi mana?" Seri bertanya sambil menjongketkan keningnya.

"Akak dengan Pak Mail bawaklah Bella ke mana pun, Bella tak kisah," jawab Nabila sambil tersenyum manis.

"Kalau macam tu, nak ronda satu Semenanjung Malaysia, ke?" gurau Pak Mail.

Nabila ketawa perlahan. "Kalau Pak Mail larat nak memandu sejauh tu, Bella ok je," balas Nabila.

Seri hanya tersenyum begitu juga dengan Pak Mail.

Kereta yang dipandu Pak Mail kelihatan keluar dari perkarangan rumah mewah milik Tan Sri Taufiq. Pak Mail, selain tugasnya sebagai pemandu, dia juga merupakan tukang kebun di rumah Tan Sri Taufiq.

"Pak Mail..." panggil Nabila perlahan tiba-tiba.

"Ye," jawab Pak Mail.

"Dah lama dah Bella nak cakap benda ni tapi asyik tak kesampaian je," Nabila bermukadimah.

"Ada apa?" tanya Pak Mail, mata tuanya masih lagi fokus dalam pemanduan meskipun sedang melayan bicara Nabila.

"Boleh saya panggil Pak Mail... Ayah?" lambat-lambat Nabila menutur kata.

Pak Mail hanya tersenyum. "Boleh apa salahnya, kecil tapak tangan satu Semenanjung ayah tadahkan," Pak Mail menjawab sambil bergurau. Senang sahaja nama 'ayah' keluar dari bibirnya untuk anak majikannya itu.

Nabila hanya tersenyum. "Terima kasih... Ayah."

Pak Mail merupakan pemandu peribadi Tan Sri Taufiq pada asalnya. Tapi sejak tahun lepas dirinya sudah berubah kerjaya menjadi pemandu untuk orang gaji dan Nabila memandangkan Tan Sri Taufiq sudah mengambil pemandu baru yang lebih muda dan berkarisma.

Seri memandang lagi wajah Nabila, sekiranya dilihat secara terperinci dapat dilihat wajah itu sembab. Mesti baru lepas menangis ni! Wajahnya pantas dialihkan untuk melihat pemandangan diluar kenderaan. Tidak banyak kenderaan di atas jalan.

Tiba-tiba Seri teringat akan hal arwah sepupunya yang telah meninggal dunia. Sepupunya itu suka menyendiri seperti Nabila. Semakin lama difikirkan semakin takut pula yang dirasakannya. Dia sudah mula sayang akan Nabila dan menganggap Nabila itu persis adiknya sendiri.

"Kenapa akak termenung?" tanya Nabila.

"Eh... tak de la. Akak cuma teringat dekat arwah sepupu akak je," balas Seri.

"Ooo...kalau akak tak keberatan, oleh Bella tau kenapa dengan sepupu akak tu?" Nabila mengangguk perlahan.

Seri mengambil tangan Nabila. Dipegang erat. "Arwah sebaya dengan Bella sewaktu dia meninggal..." Seri memulakan kisahnya.

Nabila hanya mendengar.

"Arwah ni selalunya ceria sahaja perwatakkannya. Akak rapat dengan dia. Tapi satu hari sikap arwah berubah. Arwah jadi pendiam, suka termenung, tak nak makan dan selalu menangis. Akak adalah jugak nak jenguk arwah, tapi arwah tak nak. Arwah tak nak jumpa sesiapa pun. Pintu bilik arwah selalu terkunci dari dalam."

Seri menarik nafas sedalam yang boleh sebelum menyambung penceritaannya semula. "Tak lama lepas tu kami dapat khabar yang arwah dah meninggal. Arwah dibunuh di dalam rumahnya sendiri sewaktu semua ahli keluarga keluar. Masa tu arwah tinggal seorang diri. Semua ahli keluarga terkejut dapat khabar tu. Bertambah terkejut bila mereka dapat tahu yang arwah ni mengandung sewaktu meninggal. Selepas polis menjalankan siasatan, baru kami tahu masalah arwah," kepala Seri ditundukkan.

"Arwah diperkosa beramai-ramai... dan salah seorang perogol tu kami sekeluarga kenal sangat. Kami kecewa sangat sebab tak sempat nak faham arwah. Sebenarnya arwah ni dah banyak kali cakap, arwah tak suka lelaki tu datang rumah, tapi kami semua buat tak peduli je."

Nabila menggengam tangan Seri dengan lebih erat. Ingin memberi semangat.

"Disebalik senyumannya, dia mengalami perkara yang memeritkan. Perkara yang kami tak terfikir pun akan terjadi. Kami menyesal, Bella. Kami tak faham arwah. Kami fikir semuanya baik saja hanya sebab dia suka tersenyum. Macam tak ada masalah. Tapi kami salah. Sudahnya kami hidup dalam sesal tak sudah."

Nabila tersentuh. Selama ni aku mengeluh yang hidup aku ni paling teruk. Tapi sebenarnya ada yang lebih tragis hidupnya dari aku. Nabila berkata-kata dalam hatinya.

"Allah sayang dia, kak. Sebab tu Allah ambil dia. Akak janganlah sedih lagi, ok?" Nabila mengukirkan senyuman.

"La... kenapa sedih-sedih ni? Kita makan ais krim nak?" Pak Mail menyampuk.

"Ayah... orang tengah bersedih, boleh pulak ayah ajak makan ais krim," Nabila tersenyum. Itulah dirinya, senyum sentiasa.

"Habis, kalau ayah tak menyampuk nanti, banjir tempat ni. Susah kita semua," gurau Pak Mail lagi.

Seri hanya ketawa kecil.

Nabila menggeleng perlahan.

"Tapi ok apa... Pak Mail nak belanja makan ais krim. Maklumlah selama ni kedekut..." Seri memperlahankan suaranya tatkala menyebut perkataan 'kedekut'.

"Amboi..." Pak Mail menjeling tajam. Dapat dilihat jelas melalui cermin pandang belakang kereta. "Mana ada kedekut, Seri. Tapi sebab tak ada masa sahaja. Nak tak makan ais krim ni?" soal Pak Mail sekali lagi.

Nabila memandang wajah Seri. Mereka saling tersenyum. "Nak!" serentak mereka berdua bersuara.

Pak Mail menggeleng perlahan. Terubat sikit hatinya melihat mereka tersenyum. Rindunya dia pada anak-anak yang jauh merantau sedikit sebanyak terubat jua dengan melayan karenah Nabila dan Seri.



^_^ Terima Kasih Daun Keladi, Kalau Free Datanglah Lagi ^_^

No comments:

Contact Ai Indah


Copyright© All Rights Reserved aiindahsyahindah.blogspot.my