Wednesday, May 19, 2021

My Mrs Seventeen - BAB 14

NABILA mengikuti langkah Aisyah menuju ke tempat Mukhriz yang sedang menanti mereka.

"Awak... tak pe kan?" Aisyah bersuara. Ingin melihat reaksi Nabila.

Aku dah agak. Kan betul mamat tu ada sekali. Ala... sweet couple betullah. Tak boleh berpisah langsung.

"Hmm," balas Nabila. Demi sahabatku, aku buat tak nampak je lah mamat tu. Lagipun ini untuk kebaikan aku jugak. Cuma... kalau mamat tu cari pasal, tak perlu tunggu Aisyah, depan mata Aisyah nanti aku buat hal dengan mamat tu!

"Assalamualaikum, Riz. Maaf lambat sikit," Aisyah menarik kerusi bertentangan dengan Mukhriz.

"Wa'alaikumussalam. Tak pe, lagipun saya baru je sampai," Mukhriz tersenyum ke arah Aisyah.

Entah kenapa Nabila terasa cemburu dengan situasi tersebut. Mamat tu senyum bukan main dengan Aisyah, dengan aku? Jangan harap! Cakap pun lembut je. Aduh... kenapa lah dada aku ni berdegup kencang dengar mamat ni cakap elok-elok ye? Soal Nabila dalam hatinya.

"Hari ni kita nak study apa?" Aisyah bertanya.

"Matematik?" Mukhriz memberi cadangan. Dia tahu itu subjek kegemaran Nabila.

"Ok, gak tu. Eh! Riz awak tau Bella suka subjek tu tau," Aisyah memberi tahu.

"Oh ye?" Mukhriz memandang Nabila.

Nabila hanya tersenyum sumbing.

"Kalau macam tu jom lah kita mulakan. Saya nak ambik buku rujukan kejap," Mukhriz bangun dan menghampiri rak buku rujukan.

"Bella..." Aisyah memanggil.

"Hm..."

"Riz tu selalu dapat markah tinggi tau dalam matematik. Kalau awak tak faham apa-apa boleh tanya dekat dia. Dia ok," Aisyah tersenyum manis.

Mukhriz menghampiri meja semula. Di tangannya terdapat beberapa buku rujukan matematik yang akan digunakan dalam sesi pembelajaran mereka hari ini.

"Saya nak cari soalan SPM tahun-tahun yang sudah sekejap," Aisyah berlalu dan menuju ke kaunter bagi meminjam set kertas soalan tahun-tahun lepas SPM bagi subjek matematik.

Nabila memandang Mukhriz dengan pandangan kosong.

"Aku dah agak kau mesti ada," Nabila bersuara bagi memecah kesunyian dengan Mukhriz.

"Kenapa?" Mukhriz memberi respon yang bersahaja.

Nabila berdiam sahaja. Malas nak layan manusia dihadapannya itu. Buat sakit hati sahaja.

Mukhriz mencuri pandang Nabila saat khusyuk menjawab soalan dari buku rujukan. Lajunya, otak matematik dia ni.

Apa pandang-pandang? Ada hutang ke? Dia ingat aku tak tahu dia pandang aku? Nabila meneruskan kerjanya. Tidak menghiraukan pandangan mata Mukhriz kepadanya.

"Banyak dapat?" Mukhriz bertanya tatkala Aisyah sudah kembali.

"Boleh la. Eh! Bella... cepatnya awak mula, dah nak siap dah," Aisyah memandang Nabila.

"Habis? Kata nak study kan? Buat cepat-cepatlah. Betul tak guru mudaku?" Nabila menjongketkan keningnya kepada Mukhriz.

Mukhriz hanya berdiam tanpa membalas apa-apa.

Aisyah hanya memandang dua insan tersebut. Gaduh ke?

Nabila meneruskan pengiraanya yang terhenti tadi.

Aisyah memandang Mukhriz sambil mengangkat kepalanya sedikit ke atas. Isyarat bertanya 'Macam mana?'

Mukhriz membalas dengan mengangkat bahunya, 'Tak tahu'.




MUKHRIZ laju sahaja memotong bawang kecil, bawang putih dan halia.

"Riz, kamu tengah buat apa?" soal Bibik.

Mukhriz berpaling dan dia melihat bibiknya yang baru masuk ke dapur."Masak bubur untuk Is," jujur sahaja Mukhriz memberi tahu.

"Mari sini bibik buat," Bibik cuba mengambil alih kerja yang sudah separuh siap dilakukan oleh Mukhriz.

"Tak pe lah bik, sikit je lagi. Bibik pergi buat kerja yang lain ye?" Mukhriz tersenyum.

"Ikut suka kamu lah," Bibik berlalu untuk membuat kerja yang lain.

Tok, tok!

"Is, aku bawakkan kau bubur ni," Mukhriz bersuara setelah membuka pintu bilik Iskandar.

Dari situ dia melihat Iskandar sedang terbaring diatas katil. Matanya dipejam rapat."Is... bangun... makan," Mukhriz mengejutkan Iskandar.

Iskandar membuka matanya. Dia melihat Mukhriz berdiri di sisi katilnya sambil memegang dulang. Iskandar cuba untuk bangun.

Mukhriz yang melihat Iskandar bersusah payah untuk bangun, lantas meletakkan dulang ke tepidan menghulurkan bantuan kepada saudara angkatnya itu. "Ni, aku ada buat bubur untuk kau," Mukhriz menghulurkan mangkuk berisi bubur yang dimasaknya sebentar tadi.

"Bibik buat ke?" tanya Iskandar lemah. Sungguh dia lebih rela berlapar dari makan bubur masakan bibiknya. Sebab baginya bibiknya masak, TERUK! Tak sedap! Sudahlah Iskandar ni memang sikapnya memilih bab-bab makan ni. Bukan sebarangan masakan orang yang boleh diterima.

Mukhriz menggeleng. "Aku buat. Aku tahu sangat tekak kau tu tak mampu nak telan bubur yang bibik buat kalau kau sakit. Nah ambik ni," Mukhriz melayan Iskandar.

"Terima kasih, Riz." Iskandar bersuara lemah. Nasib kau yang masak. Sekurang-kurangnya kau masak lagi ok dari bibik tau! Kalau bibik yang masak bubur... lebih baik aku berpuasa je. Kata hati kecil Iskandar.

Mukhriz hanya mengangguk sambil tersenyum.

"Aku ni selalu jahat dengan kau kan?" ucap Iskandar sayu.

"Is... aku tak fikir macam tu pun. Aku faham perasaan kau. Kau marah aku sebab kemalangan tu, kau marah aku sebab mama dengan papa bagi perhatian pada aku, kan?" Mukhriz mengukir senyuman ikhlas.

Iskandar mengangguk lemah. "Walau aku bergaduh macam mana pun dengan Ishak, aku sayang sangat dekat dia. Aku tak boleh terima bila dia pergi," Iskandar menyuapkan bubur ke dalam mulutnya.

"Setiap yang hidup pasti akan mati, Is. Kau kena redha," Mukhriz memberi nasihat. Dia faham benar rasa sakit kehilangan orang yang tersayang. Lebih-lebih lagi kalau orang tu rapat dengan kita.

"Entah lah Riz. Aku..."

"Aku faham. Kau susah nak terima kan? Is, aku ni anak yatim piatu, Is. Umi dengan walid aku pergi saat aku masih perlukan mereka. Alhamdulillah, aku masih ada mummy. Tapi aku kena redha, sebab ini sebahagian dari ujian untuk aku. Macam tu jugak dengan kau. Kau patut bersyukur ada mama dengan papa." Mukhriz memotong kata Iskandar.

Iskandar terdiam."Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, kan?" soal Iskandar tiba-tiba.

Mukhriz mengangguk.

"Aku ni akan dapat isteri yang jahat ke?" tanya Iskandar lagi.

"Is... kita ni muda lagi. Baru tujuh belas tahun. SPM pun tak lepas lagi," Mukhriz membalas.

"Betulkan apa aku cakap?" Iskandar masih mahu bertanya.

Mukhriz mengangguk perlahan. "Betul. Ada dalam ayat al-quran, Surah An-Nur ayat 26. Tapi boleh jadi lain juga. Ikut takdir yang Allah tentukan untuk kita."

"Maksud kau?"

"Maksudnya, kalau kita berubah dapat lah yang baik. Tapi ada juga segelintir mendapat bertentangan dengan mereka. Ada contoh dalam kisah para Anbiya'. Ini adalah kerana Allah ingin menguji kita," terang Mukhriz.

"Apa kisahnya?" Iskandar bertanya dengan penuh minat.

"Kau ni... habiskan bubur tu dulu. Kalau aku cerita sampai esok kau tak makan. Nanti-nantilah aku cerita," putus Mukhriz.

Iskandar meneruskan suapannya. Suapan demi suapan sehingga mangkuk tersebut licin."Sedap kau masak. Patutlah mama sayang," puji Iskandar.

Mukhriz ketawa kecil. "Banyaklah kau."

"Aku minta maaf sebab banyak susahkan kau. Dan... maaf sebab aku menyalahkan kau atas kematian Ishak," Iskandar memandang tepat anak mata Mukhriz.

"Tak ada apa yang perlu dimaafkan, Is. Kau tak salah pun," Mukhriz melangkah mendekati pintu.

"Eh! Aku terlupa," Mukhriz berpatah balik mendekati Iskandar.

"Apa dia?" soal Iskandar kehairanan.

"Kau ni dah jatuh cinta dengan seseorang ke?" tanya Mukhriz.

"Hah? Siapa cakap?" Iskandar terkejut. Cinta? Oh... soalan apakah ini? Kalau suka tu... boleh lah aku terima. Ini cinta? C-I-N-T-A? Memang tak lah!

"Aisyah," balas Mukhriz.

Iskandar menarik nafas dalam. "Eee... makwe kau tu kan asyik buat tekaan salah je tentang aku. Mana ada lah. Kau percayalah cakap makwe kau tu," Iskandar menafikan.

Mukhriz hanya tersenyum. "Kalau aku percaya aku tak tanya tau?"

"Eee... sabar je lah aku dengan makwe kau tu. Siapa pulak yang aku kacau ni? Cuba cakap nama dia, siapa?" tanya Iskandar.

"Kasih Nabila," jawab Mukhriz.

Tersedak Iskandar mendengar nama itu. Sudah lama tidak mendengar nama itu.

"Wei! Budak tu aku tegur je lah sebab aku rasa macam pernah kenal. Itu je. Bukan aku kacau dia. Kalau kau tak percaya pergi tanya budak tu sendiri." sambung Iskandar lagi.

Mukhriz tersenyum.

"Macam manalah kau boleh terfikir nak tanya aku soalan tu? Mak we kau tu, nasihat sikit, jangan bersangka buruk dekat aku." soal Iskandar.

"Aisyah tak sangka buruk lah. Dia salah faham je. Dah la, aku nak pergi dapur dulu. Take care," Mukhriz turun ke dapur.



^_^ Terima Kasih Daun Keladi, Kalau Free Datanglah Lagi ^_^

No comments:

Contact Ai Indah


Copyright© All Rights Reserved aiindahsyahindah.blogspot.my