
AI mengambil selendang yang dibawanya ke dalam surau lalu diletakkan di atas kepalanya. Dia memandang imbasan wajahnya di cermin. Senyum manis menghiasi wajah anak Cina itu.
"Kalau saya nak tanya sesuatu, boleh?"
Khairil mengangguk. "Boleh."
Ai menarik nafasnya sedalam yang boleh. "Awak bercinta dengan saya untuk apa? Suka-suka?"
Khairil tersenyum. "Kenapa? Awak nak serius?"
Ai terdiam mendengar apa yang teman lelakinya katakan kepadanya.
"Kita berlainan agama, Ai. Kalau nak serius, awak kena masuk Islam dulu."
"Kenapa sampai perlu tukar agama?" soal Ai dengan kehairanan. "Tak tukar, tak boleh ke?"
Khairil memandang tepat anak mata teman wanitanya itu. "Kalau awak nak serius, itu tandanya kita perlu berkahwin. Untuk berkahwin pulak, awak kena tukar agama. Agama saya tak membenarkan perkahwinan berlainan agama."
"Jadi kalau saya nak kahwin dengan awak, saya kena masuk Islam?"
Khairil mengangguk. "Awak nak ke masuk Islam? Awak nak kahwin dengan saya?"
Ai mengeluh. "Keluarga saya tentu tak benarkan."
"Then? Awak nak kita serius?"
Ai hanya mengeluh lagi. "Tapi saya tak boleh nak hilang awak."
"Fikirah Ai. Kalau awak sayang dan tak boleh nak hilang saya, tukar agama. Kahwin dengan saya. Habis cerita."
"Mudahnya untuk awak cakap, sebab bukan awak yang tukar agama. Tapi sebaliknya saya. Saya yang kena hadapi semuanya, bukannya awak! Awak lahir dah Islam."
Khairil menjongketkan bahunya. "So... fikirlah sendiri."
"Kalau kita tak kahwin, awak dengan saya hanya untuk suka-suka la?"
Khairil hanya berdiam tidak berkutik.
"Ai," panggil Arina yang masih berdiri kaku di hadapan pintu surau.
Terkejut Ai tatkala mendengar ada orang memanggil namanya. Lantas selendang di kepalanya cepat-cepat ditanggalkan. Walau dia tahu Arina sudah pun melihat apa yang mahu dia sorokkan selama ini.
Arina menghampiri Ai. "Awak nampak cantik bila pakai selendang tadi," puji Arina sambil tersenyum. "Kenapa nak cabut?"
Ai memandang wajah Arina.
"Awak nak cuba pakai telekung tak?"
"Boleh ke?" soal Ai takut-takut. Itulah perkara yang paling dia mahukan sebenarnya namun dia tiada keberanian. Lagipun dia bimbang dia tidak dibenarkan memakai pakaian itu memandangkan dia bukan agama yang sama dengan Arina.
Arina mengangguk. Dia menghulurkan telekung miliknya kepada Ai. "Saya tolong pakaikan awak telekung."
Ai tersenyum. "Terima kasih."
"Sama-sama." Arina mula merapikan sebahagian rambut milik Ai dengan kemas sebelum membantu Ai memakai telekung.
'Semoga hati kau nak masuk Islam, Ai.' Doa Arina di dalam hatinya.
No comments:
Post a Comment