Tuesday, May 25, 2021

Yang Kutahu Cinta Itu Indah - TEASER 3




INDAH termenung di halaman rumahnya. Air matanya mulai menitik, setitik demi setitik. Matanya memandang ke arah satu pokok bunga yang terdapat di halaman rumahnya itu.

"Mama, cantikkan bunga ni?" soal Indah yang berusia sebelas tahun itu kepada Puan Laila.

Puan Laila mengangguk. "Cantik, tapi anak mama lagi cantik. Sebab tu mama namakan anak mama ni Indah."

Indah sudah tersenyum mendengar apa yang mamanya katakan kepadanya.

"Anak papa cantik, sebab papa kahwin dengan seorang perempuan yang cantik. Cantik luar dan dalam," sampuk Encik Kazim yang kebetulan baru sahaja menampakkan dirinya di halaman rumah.

"Ada-ada jelah papa ni tau. Suka sangat mengusik mama depan Indah la." Muka Puan Laila sudah kemerahan menahan malu.

"Hahaha..." Indah sudah ketawa. "Muka mama merah la papa." Indah menunding jarinya ke wajah mamanya.

Bulat mata Puan Laila. "Indah dengan papa ni sama je tau. Suka sakat mama."

Encik Kazim memeluk Indah. "Anak borek..."

"Papa rintik," sambung Indah.

Puan Laila sudah menggelengkan kepalanya.

"Papa... lari..." Indah berlari saat Puan Laila menghampirinya.

"Jangan lari. Mama tetap akan dapat tangkap Indah jugak nanti," ujar Puan Laila sambil cuba menangkap Indah yang pantas berlari itu.

"Hahaha... mama tak dapat tangkap, tak dapat tangkap," balas Indah sambil berlari.

Encik Kazim sudah ketawa terbahak-bahak melihat gelagat isteri dan anak tunggalnya bermain kejar-kejar dihadapannya.

"Cik Muda tak nak tidur lagi?" soal Rozita.

Persoalan yang diaju oleh Rozita mematikan ingatannya kepada arwah Puan Laila dan Encik Kazim.

Indah mengukir senyuman ke arah Rozita. "Nanti saya masuk tidur. Kenapa awak tak masuk tidur lagi?"

"Saya ni peneman Cik Muda. Macam mana saya nak tidur, kalau Cik Muda belum nak tidur lagi?"

Indah menganggukkan kepalanya.

Rozita ialah orang yang diupah untuk menemaninya, menjadi kawan baiknya dan pendengar kepada semua masalahnya oleh arwah papa dan mamanya. Dia dan Rozita sebenarnya sebaya dan belajar di satu sekolah lagi. Bukan Rozita sahaja bekerja untuknya, tetapi kesemua ahli keluarga Rozita turut bekerja dengan keluarganya.

Ayah Rozita, Encik Jamil – peguam syarikat dan pada masa yang sama peguam peribadi arwah papanya.

Mak Rozita, Puan Anita – pembantu di rumahnya.

Abang Rozita, Nadhir – pemandu keluarganya.

Setelah kematian Puan Laila dan Encik Kazim seminggu yang lalu, kesemua ahli keluarga Rozita sudah berpindah masuk ke dalam rumahnya untuk tinggal bersamanya memandangkan dia sendirian. Ahli keluarga yang ada cuma nendanya, Engku Fazura yang menetap di London.

"Saya tak mengantuk lagi. Awak masuk je tidur."

Rozita hanya berdiam diri. "Boleh saya teman Cik Muda?"

"Awak tak mengantuk ke?"

Rozita menggelengkan kepala.

"Kalau macam tu, awak duduklah," jemput Indah.

"Terima kasih, Cik Muda." Rozita hanya menurut. "Cik Muda..." Rozita memanggil majikannya itu setelah duduk di sebelah Indah.

"Hm..." mata Indah memandang ke arah langit gelap.

"Ayah saya mintak saya ingatkan Cik Muda, tentang wasiat arwah papa Cik Muda. Cik Muda jangan lupa, yang Cik Muda kena tinggal dengan nenda Cik Muda tu."

Indah menganggukkan kepalanya. "Jangan risaulah. Saya ingat semua tu. Lagipun, saya kan nak SPM tahun ni. Lepas SPM, saya pindah lah tinggal dengan nenda di London tu."

Rozita berdiam diri.

"Bila saya dah tak tinggal sini, awak and family awak jangan pindah tau. Papa tak bagi," ujar Indah.

"Cik Muda..."

"Apa dia yang awak nak cakapkan lagi ni, hm?"

Rozita menarik nafasnya sedalam yang boleh. "Antara Hakim dan Hazim, yang mana Cik Muda berkenan? Yang Cik Muda suka?"

Indah terdiam dengan soalan yang tidak dia sangka-sangka itu.

Mana satu?

Hakim... atau Hazim?



^_^ Terima Kasih Daun Keladi, Kalau Free Datanglah Lagi ^_^

No comments:

Contact Ai Indah


Copyright© All Rights Reserved aiindahsyahindah.blogspot.my