Sunday, May 23, 2021

Suami Untuk Mama - TEASER 1



"MAMA..." panggil Anis yang ketika itu baru sahaja keluar dari bilik tidurnya. Melihat kelibat si mama yang berpakaian kemas seakan mahu ke pejabat, mengundang seribu pertanyaan dalam benaknya. Cuti-cuti begini pun, perlukah mamanya bekerja lagi?

Puan Alin menarik senyum memandang wajah anak ketiganya. Melihat gaya Anis dia sudah tahu anaknya ini mahu berkata sesuatu. Jam di pergelangan tangan dipandang sekilas. Kepalanya mula berkira-kira masa yang perlu diperuntukkan untuk mendengar cerita si anak. Sempat rasanya untuk dia mendengar sekejap apa anaknya mahukan walau dia sedang kejar masa ketika ini.

Lagipun sekiranya dia tidak luangkan sedikit masa, bila lagi mereka boleh luangkan masa bersama? Jadi masa yang ada ni, lebih baik digunakan sebaiknya.

Anis menghampiri mamanya. Matanya memandang dari atas sampai ke bawah pemakaian yang tersarung kemas di batang tubuh si mama. "Mama nak pergi kerja ke?"

Puan Alin mengangguk.

"Hari minggu pun?"

Puan Alin tersenyum dengan soalan kedua Anis. "Kamu nak cakap apa dengan mama?" tanya Puan Alin dengan prihatin.

Anis mengeluh berat. "Mama tak boleh ke kalau mama tak pergi kerja sehari? Sehari je mama."

Puan Alin mengulas lembut rambut si anak. "Kenapa dengan anak mama ni, hm? Mama kerja untuk kamu dan adik-beradik kamu."

"Bukan ke papa sentiasa masukkan duit untuk kita?"

"Duit tu bukan untuk mama. Duit tu untuk kamu dengan adik-beradik kamu," Puan Alin membetulkan kenyataan anaknya itu. Masakan dia mahu gunakan duit bekas suaminya untuk dirinya?

"Papa banyak masukkan duit la mama. Buat apa mama nak kerja keras sampai macam ni? Baik mama duduk rumah."

"Mama dengan papa kan dah bercerai."

"Abang dengan kakak kan dah kerja sekarang. Jadi tak ada sebab untuk mama kerja keras lagi nak sara kami."

"Anis..." Puan Alin membetulkan genggaman beg tangannya. "Mama tak boleh la duduk rumah tak buat apa. Mama suka kerja."

Anis mengeluh. Balik-balik itu sahaja modal yang digunakan oleh Puan Alin untuk terus bekerja. Bosan sudah dia mendengarnya. Tiada alasan atau modal lain.

Puan Alin menolak rambut depan Anis ke belakang telinga anak gadisnya itu. "Mama sibuk macam mana pun, mama ada masa untuk kamu dan adik-beradik kamu kan? Mama tak abaikan tanggungjawab mama, kan? So... why not anak-anak mama ni faham perasaan mama. Mama suka kerja, mama tak suka duduk rumah. Mama suka keluar."

"Tapi..."

"Anis, mama ada cita-cita yang mama nak capai. Mama nak Anis adik-beradik bangga ada mama sebagai mama."

"Kami dah cukup bangga dengan prestasi mama. Lagipun adik perlukan perhatian dari mama. Adik tu sekolah lagi ma. Tak boleh ke, mama kurangkan aktiviti kerja mama? Paling tak pun hujung minggu."

Puan Alin menarik nafas panjang sebelum meneruskan bicara. "Kalau kamu tak nak mama asyik kerja je, baik. Mama akan ikut kata kamu biarpun mama tak suka. Tapi ada syaratnya."

Anis memandang wajah mamanya. "Apa dia, ma?"

Puan Alin tersenyum manis. "Carikan suami untuk mama."

"Apa? Su-suami?"

Puan Alin mengangguk laju. "Tapi... suami tu kena dua puluh tahun lagi muda dari mama. Apa macam? Boleh?" Puan Alin menambah kriteria bakal suami yang perlu anaknya ini cari untuk membuatnya berhenti gila kerja.

"Su... suami?" ulang Anis lagi.

Puan Alin mengangguk.

"Dua puluh tahun lagi muda dari mama?" Anis ingin meminta kepastian.

Puan Alin mengangguk lagi.

"Tu dah macam seusia dengan kakak, ma."

"Jawapan kamu negatif?" teka Puan Alin.

Anis terdiam seketika. 'Kalau aku kata negatif, mama tak nak duduk rumah. Kalau positif pulak aku akan dapat papa tiri yang tua setahun dari kakak. Aduh!'

"Kamu perlukan masa ke nak fikir, Anis?"

Anis mengangguk. Dia perlu buat mesyuarat meja bulat bersama adik-beradiknya. Hal mama nak kahwin ni, bukan hal main-main. Ini hal serius. Mereka bakal mendapat papa tiri.

"Okey... mama pergi dulu ye sayang. Nanti jangan lupa ambik adik dekat hotel. Adik mesej mama kata yang papa kamu dah kena pergi luar negara semula."

"Papa nak ke mana, ma?"

Puan Alin mengangkat bahu. "Mama tak tahu tapi apa mama tahu papa dapat projek lagi dekat tempat kerja papa tu. Kalau Anis nak tahu lebih, tanyalah papa sendiri. Lepas tu bagitahu mama, okey?"

"Kenapa nak bagitahu mama?"

"Supaya mama tahu kalau apa-apa jadi dekat papa, papa ada di mana. Papa tu mana ada keluarga lain selain kamu adik-beradik."

Anis jongket kening. "Kenapa mama tak nak tanya papa sendiri?"

"Kalau mama tanya, papa fikir lain pulak. Mama bukan isteri papa lagi untuk urus ke mana papa kamu nak pergi."

Anis terdiam.

"I have to go now," Puan Alin menarik Anis untuk lebih rapat ke arahnya. Dicium pipi anaknya itu. "Jangan lupa jemput adik, tau."

Anis mengangguk.

Puan Alin tersenyum. "Bye, sayang."

Anis menghantar kepergian mamanya dengan pandanganya. Makin lama, Puan Alin semakin kecil pada penglihatannya. Tiba-tiba kepalanya terfikirkan sesuatu.

"Mama nampak macam tak kisah pasal papa, tapi kadang-kadang mama macam tetap kisahkan papa je. Why, ha? Mama dan papa kan dah belasan tahun bercerai. Jangan-jangan... mama masih cintakan papa tak?" ujar Anis sendirian.



^_^ Terima Kasih Daun Keladi, Kalau Free Datanglah Lagi ^_^

No comments:

Contact Ai Indah


Copyright© All Rights Reserved aiindahsyahindah.blogspot.my