AISYAH mendekatkan bibirnya ditelinga Nabila."Dah habis?" tanya Aisyah dengan nada yang cukup perlahan.
"Habis apa?" Nabila bertanya kembali.
Aisyah menepuk dahi. Astagfirullahhala'zim. Bella ni tak kan nak mention pulak pasal tu?"Tu la. Ala... yang tu." Aisyah cuba memberi signal.
"Ooo... yang tu... Dah. Pagi tadi. Kenapa?" jawab Nabila perlahan.
"Dah mandi?" soal Aisyah.
Nabila mengangguk. "Mestilah. Hari-hari saya mandi. Tak kan itu pun awak nak tanya?"
Aisyah menggeleng. "Bukan, bukan mandi harian tu. Ni mandi wajib. Dah?"
"Tak. Ada ye mandi wajib? Macam mana nak mandi wajib tu?" soal Nabila sambil menggarukan kepalanya. Aduh ada macam-macam jenis mandi ke? Ingatkan satu je.
Aisyah berdiam seketika. Kemudian dia teringat sesuatu. "Awak sibuk tak petang ni dengan esok?" tanya Aisyah.
Nabila menggeleng.
"Jom ikut saya pergi rumah aki, nak? Aki, nenek, umi dengan mak su nak sangat jumpa awak," ujar Aisyah.
Nabila tersenyum. "Nak. Bila?"Nabila sudah teruja.
"Habis sekolah ni. Tapi awak kena tumpangkan sayalah, boleh?"
"Tumpangkan awak ke rumah awak yang..."
"Tak. Terus ke rumah aki," jawab Aisyah.
"Habis baju semua?" soal Nabila.
"Setiap hujung minggu saya pergi rumah aki, bermalam dekat sana. Jadi baju saya semua ada dekat sana. Cuma untuk awak... nanti, awak balik rumah awak dulu, untuk ambik baju."
Nabila teruja. "Bermalam dekat rumah aki awak?" mata Nabila sudah bersinar-sinar jelas wajahnya memamparkan riak kegembiraan yang tidak terkira.
Aisyah mengangguk.
"Ooo... kiranya nanti kita balik sama, pergi rumah saya untuk saya ambik baju. Kemudian, kita pergi rumah aki awak. Macam tu?" terang Nabila kepada Aisyah. Ingin memastikan betul teorinya itu.
Aisyah mengangguk. "Itupun kalau tak menyusahkan awak," Aisyah mengukir senyuman manis.
"Eh! Tak lah. Saya ok je. Rasa teruja pulak nak pergi rumah aki awak dan jumpa keluarga awak."
Aisyah hanya tersenyum sahaja melihat keterujaan Nabila.
Tak sabarnya...Nabila sudah tersengih-sengih. Entah kenapa dia rasa betul-betul tak sabar untuk ke rumah aki Aisyah.
"AISYAH, tunggu Bella dekat dalamlah. Panas luar ni," ujar Pak Mail.
Aisyah menggeleng. "Tak pe, sekejap je kan Bella tu?"
Pak Mail menggeleng. "Sekejap apa macam tu? Kalau dah datang mood teruja dia, lama lah jawapannya. Mari masuk," Pak Mail mempersilakan Aisyah masuk ke dalam banglo tiga tingkat tersebut.
"Besar rumah Bella," ucap Aisyah tatkala kakinya melangkah masuk ke dalam rumah milik Tan Sri Taufiq itu.
"Biasalah, anak Tan Sri dengan Puan Sri," Pak Mail tersenyum.
Aisyah menunjukkan jarinya ke arah Pak Mail. "Pak cik ni, Tan Sri ke?" tanya Aisyah. Terkejut dirinya kerana insan di hadapannya kelihatan seperti orang biasa-biasa sahaja. Kalau ini Tan Sri, mesti orangnya baik kerana seorang yang rendah diri. Fikir Aisyah
Pak Mail menggeleng. "Pak cik bukan Tan Sri. Pak cik ni pemandu anak Tan Sri je," jawab Pak Mail.
"Pemandu? Tapi hari tu Bella panggil pak cik, 'ayah'."
"Bella memang panggil pak cik macam tu. Dengan pengasuh dia pun sama," jawab Pak Mail.
Aisyah mengangguk sambil tersenyum.
"Siapa ni Pak Mail?" Maya bertanya. Dia baru sahaja selesai mengemas di ruang atas.
"Kawan Bella, Aisyah. Aisyah ini salah seorang pembantu rumah ni, Maya namanya," Pak Mail mengenalkan mereka antara satu sama lain.
Aisyah menyalami tangan Maya sebagai tanda hormat.
"Dah minum?" soal Maya.
Aisyah menggeleng.
"Seri! Buat air. Ada tetamu," jerit Maya.
"Eh! Tak payah susah-susah. Saya sekejap je."
"Ada pulak macam tu. Awak tetamu, kena hidang air. Sekejap ye?" Maya melangkah ke dapur.
"Ikut je lah, Aisyah," Pak Mail bersuara. "Mari duduk sini." Jemput Pak Mail.
Aisyah menurut."Pak cik... tak pe ke Bella bermalam di rumah aki saya?" tanya Aisyah.
"Tak pe. Elok sangat lah tu. Lagipun Bella tu bosan hujung minggu tak buat apa-apa. Sekali-sekala dia keluar apa salahnya."
"Tan Sri dengan Puan Sri?" soal Aisyah.
"Oh... mereka ke Sabah. Lambat lagi balik. Lagipun mereka tak pernah kisah pasal Bella ke mana. Asal dia boleh jaga diri," Pak Mail memberitahu.
Aisyah mengangguk faham.
AISYAH membantu Nabila mengangkat beg bajunya.
"Besarnya rumah aki awak," mata Nabila tak lepas memandang sekeliling rumah. Cantiknya.
"Ala... biasa je. Lebih kurang sama je dengan rumah awak. Mari saya bawak awak jumpa mereka," Aisyah mengambil tangan Nabila.
"Mereka dah sampai?" tanya Nabila.
Aisyah mengangguk.
"Beg tu biar akak yang bawak masuk bilik," seorang orang gaji yang sebaya dengan Maya menghampiri mereka.
"Terima kasih," ucap Nabila sambil tersenyum.
"Jom," ajak Aisyah.
"Aki!" Aisyah memeluk dari belakang seorang lelaki yang dalam linkungan 50-an itu.
"Sya, Sya... tak malu ke kawan tengok tu?" tegur Puan Munirah kepada anak tunggalnya itu.
Aisyah melepaskan pelukannya. "Alah... salah ke? Sya rindu sangat dekat aki, nenek dengan mak su," Aisyah menjuihkan bibirnya.
Nabila hanya tersenyum. Kelakarlah tengok Aisyah manja dengan keluarganya. Terbit rasa cemburu. Sekali pun dia tidak berpeluang untuk bermanja seperti itu. Kecuali satu ketika dahulu. Ketika Tok Ma dan Tok Panya masih ada.
"Sya... kesian kawan kamu tu. Asyik berdiri je dekat sini. Bila Sya nak kenalkan dekat kami ni?" Cik Sarah menegur anak saudaranya itu.
"Oh! Lupa," Aisyah kembali mendekati Nabila. "Maaf, saya terlupa. Teruja sangat jumpa aki, nenek dengan mak su, ujar Aisyah sambil tersenyum manis ke arah Nabila.
Nabila hanya mengangguk.
"Jom," lengan Nabila ditarik Aisyah untuk lebih dekat dengan keluarganya.
"Kenalkan ini, Kasih Nabila. Kawan baik Sya," Aisyah memperkenalkan diri Nabila di hadapan ahli keluarganya."Bella, yang handsome ni aki saya. Tan Sri Sulaiman," Aisyah memperkenalkan akinya.
Nabila hanya menundukkan sedikit badannya kepada Tan Sri Sulaiman sebagai tanda hormat. Kalau arwah Tok Pa ada... mesti sebaya dengan aki Aisyah ni kan? Soal Nabila kepada dirinya sendiri.
"Yang cantik molek duduk dekat sebelah aki saya ni, nenek kesayangan saya. Puan Sri Dina."Nabila menghampiri dan menyalami nenek Aisyah dengan penuh rasa hormat. Menyalami tangan Puan Sri Dina mengingatkannya kepada arwah Tok Ma nya.
Tok Ma nya itu merupakan mama kepada Tan Sri Taufiq. Nabila memang rapat dengan orang tua Tan Sri Taufiq. Maklumlah ayah tirinya itu tidak mempunyai anak, sebab itu dirinya menjadi kesayangan kepada mama dan papa Tan Sri Taufiq.
Terbit rasa rindu tidak bertepi buat mereka dalam hati Nabila. Biarpun mereka hanya keluarga sisipannya, tapi... bagi Nabila dia terlalu sayang kepada Tok Ma dan Tok Panya. Merekalah selalu menceriakan hari Nabila selain dari pekerja di rumahnya.
"Yang ini pulak, mak saudara saya. Cik Sarah."Nabila menyalami tangan ibu saudara Aisyah.
"Dan yang penting sekali, ini umi saya. Puan Munirah," Aisyah memeluk uminya.
Hati Nabila terdetik secara tiba-tiba. Mereka nampak sangat rapat. Aisyah menyalami tangan umi sahabatnya itu.
"Nak panggil apa ye?" Puan Munirah bersuara, lembut sekali suaranya. Damai sahaja mendengarnya.
"Apa-apa pun boleh aunty," jawab Nabila.
"Kalau macam tu kami panggil Kasih lah ye. Sebab nama tu nampak lembut sangat untuk kamu," Cik Sarah tersenyum manis ke arah Nabila.
"Boleh sahaja, aun..."
"Eh! Apa panggil aunty ni? Panggil Mak Su je," Cik Sarah memotong kata.
"Betul tu, panggil kami sama macam apa yang si Sya ni panggil," ujar Puan Sri Dina.
"Betul tu. Panggil umi," sampuk Puan Munirah sambil tersenyum manis kepada Nabila.
Nabila tersenyum sambil mengangguk. Baiknya keluarga Aisyah sama baik macam Aisyah. Hati Nabila tersentuh dengan layanan mereka yang penuh dengan lemah-lembut dan penuh kasih sayang kepadanya. Meskipun dia orang luar.
Huhuhu... Tok Pa... Tok Ma... Bella rindu... rintih hati Nabila.
TOK, tok!
"Bella... boleh saya masuk?" kedengaran suara Aisyah di balik pintu.
Nabila mendekati pintu dan membukanya dari dalam. "Masuklah, ini kan rumah aki awak. Itu pun nak mintak izin ke?"Nabila berseloroh.
Aisyah hanya membalas dengan senyuman."Awak selesa dekat bilik ni?" tanya Aisyah.
Nabila mengangguk. "Selesa. Tapi kenapa saya tak kongsi bilik dengan awak je?" ujar Nabila.
"Keluarga saya teruja bila saya cakap awak nak datang. Jadi mereka dah suruh orang gaji untuk sediakan bilik khas untuk awak. Lagipun rumah ni besar, banyak bilik," Aisyah menjawab.
"Sya..." panggil Nabila.
"Ye?" Aisyah memandang wajah Nabila.
"Saya mintak maaf sebab fikir tak baik pasal awak. Saya ingat awak orang..."
"Miskin?" sambung Aisyah. Wajahnya masih kekal dengan senyuman.
Nabila hanya mengangguk.
"Meh, sini duduk sebelah saya," Aisyah menepuk tilam supaya Nabila duduk di sebelahnya. Nabila menurut."Saya memang bukan anak orang kaya. Tapi saya cucu orang kaya. Itu je. Awak tak salah anggap pun."
Nabila tersenyum. "Awak tak marah?" tanya Nabila.
Aisyah menggelengkan kepalanya. "Kenapa saya mesti marah? Awak tak buat salah pun," ujar Aisyah. "Sepatutnya saya yang kena mintak maaf."
"Kenapa?" tanya Nabila.
Tangan Nabila digengam. "Sebab saya ingat Pak Mail tu ayah awak."
Nabila ketawa kecil. "Dia memang ayah saya," balas Nabila laju.
"Orang yang awak anggap ayah. Orang yang awak panggil ayah. Tapi dia bukan ayah kandung awak kan? Saya..." kata Aisyah dipotong Nabila.
"Awak pun tak salah sebenarnya, Sya. Aisyah... sebenarnya saya banyak rahsiakan hal diri saya dari awak. Saya takut kalau awak tak nak kawan dengan saya kalau awak tahu siapa saya sebenarnya," ucap Nabila.
"Maksud awak?"
"Saya tak pernah kenal ayah kandung saya, Sya. Kekadang saya ada terfikir yang saya ni anak tak sah taraf. Mak saya tak pernah bagi tau saya siapa ayah kandung saya. Dari kecik saya dijaga oleh mak dan umi. Mereka ialah pengasuh saya, yang saya panggil dengan panggilan tu. Tapi mak saya dah pecat umi. Puncanya saya tak tahu. Pada saya, merekalah kawan saya, tempat saya berbual."Nabila menundukkan wajahnya.
"Saya anggap Pak Mail dan Mak Kalsom sebagai mak dan ayah saya, sebab saya tak pernah rasa kasih sayang seorang mak dengan ayah. Parents saya sibuk dengan kerja, siang malam. Kekadang saya tak pernah jumpa mereka untuk jangka masa berbulan," sambung Nabila.
"Mujurlah sebelum ni saya ada Tok Pa dengan Tok Ma yang sayang saya macam cucu mereka sendiri. Walhal, saya ni cuma cucu tiri je. Sewaktu mereka masih hidup, mereka selalu temani saya. Hiburkan saya. Tapi... sekarang mereka dah tak ada," air mata Nabila mengalir.
Kali ini dia tekad. Dia ingin beritahu segalanya pada Aisyah.
"Saya sunyi, Sya. Mak, ayah, Abang Shuib, Kak Maya dengan Kak Seri lah kawan saya selepas saya kehilangan Tok Ma dengan Tok Pa. Semua orang dekat sekolah tak nak kawan dengan saya, Sya. Dan yang menguatkan andaian mereka tentang saya anak luar nikah bukan sahaja nama saya tapi sebab saya panggil parent saya 'uncle-aunty'."
Nabila menitiskan air matanya. Air matanya semakin lama-semakin lebat mengalir.
Aisyah hanya berdiam. Ingin mendengar selanjutnya luahan Nabila.
"Dari kecik mereka tak benarkan saya panggil mereka 'papa-mama'. Saya pernah kena tampar sebab panggil macam tu," cerita Nabila.
Aisyah memeluk Nabila.Kesian awak. Awak sungguh kuat Bella. Sebab awak mampu teruskan kehidupan awak. Aisyah mengelap air matanya yang kian menitis laju. Walaupun saya tak pernah jumpa abi, tapi saya tahu dia sayang saya. Tapi awak... kesian awak Bella. Hati Aisyah merintih pilu.
"Dah lah jangan menangis," Aisyah memujuk.
"Jom kita makan. Nanti umi dengan nenek saya nak ajar awak sesuatu," Aisyah mengelap air mata Nabila yang mengalir.
"Ajar apa?" soal Nabila kehairanan.
Aisyah tersenyum."Saya mintak tolong umi dengan nenek untuk ajar awak mandi wajib, solat, mengaji semua. Sebab tu keluarga saya suruh saya bawak awak datang sini. Awak tak kisah, kan?"
Nabila menggeleng."Saya lagi suka. Keluarga awak baik sangat dengan saya," Nabila tersedu-sedu.
Terima kasih Ya Allah kerana temukan aku dengan Aisyah. Aku sangat bersyukur memiliki sahabat sepertinya. Aku janji, aku akan cuba jadi hamba-Mu yang baik. Terima kasih sangat-sangat. Doa Nabila dalam hati.
No comments:
Post a Comment