CIK SARAH membuka matanya perlahan-lahan. Senyuman terukir di bibir tatkala melihat Nabila masih nyenyak tidur dalam dakapannya.
"Abang... dia macam Abang," setitik dua air matanya jatuh.
Cik Sarah meletakkan tangannya di atas tubuh Nabila. Tubuh kecil tersebut digoyangkan perlahan."Kasih... bangun. Dah subuh ni," kejut Cik Sarah.
"Hm..." Nabila masih memejam rapat matanya.
"Kasih... bangun sayang. Kita solat subuh," kejut Cik Sarah lagi.
Setelah beberapa lama mengejutkan Nabila, akhirnya Nabila bangun sambil menggosok matanya berulang-ulang kali.
"Bangun sayang, kita solat subuh. Mummy rasa aki, nenek semua orang dah tunggu," Cik Sarah membelai lembut rambut Nabila.
"Kena ke solat sama?" tanya Nabila masih lagi dalam keadaan mamai.
Cik Sarah tersenyum. "Solat jemaah lebih banyak pahalanya dari solat sendiri. Dah bangun ambik wudhu'. Mummy tengok kamu ambik wudhu', kalau salah nanti mummy boleh tegur," ujar Cik Sarah sambil menghalang Nabila dari terus menggosok matanya.
"Hm... yela-yela," Nabila turun dari katil dan menuju ke bilik air.
MUKHRIZ mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. Tangannya sudah separas dada. Ingin berdoa kepada sang Pencipta.
"Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku. Dosa-dosa di masa lalu, sekarang ataupun yang akan datang. Ampunkanlah dosa kedua arwah umi dan walidku, sayangilah mereka, Ya Rabb dan tempatkanlah mereka dalam kalangan orang-orang yang beriman," Mukhriz menitiskan air mata.
"Ampunkanlah juga dosa mummyku, periharalah mummyku itu walau dimana dia berada. Tidak terkecuali kepada mama dan papaku. Ampunkanlah dosa-dosa mereka. Ampunkanlah dosa muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup ataupun yang telah tiada. Amiin, amiin, Ya Rabbal A'lamin," Mukhriz mengaminkan doanya. Kedua tapak tangan diusap ke wajahnya.
"Dah lama aku tak telefon mummy, rindulah. Agak-agak mummy busy tak sekarang?" Mukhriz memandang jam dinding.
Sejadah diangkat dan diletakkan di ruang yang disediakan.
CIK SARAH mengambil telefon bimbitnya. Nombor seseorang didail.
"Assalamualaikum, sayang," ujar Cik Sarah sejurus panggilannya dapat disambungkan.
"Wa'alaikumussalam mummy. How are you, mummy?" tanya Mukhriz.
Cik Sarah tersenyum. "Mummy sihat sahaja, Alhamdulillah. Baby boy macam mana? Ok?" tanya Cik Sarah prihatin.
"Riz sihat jugak, Alhamdulillah. Tapi tulah ada sakit rindu dekat mummy. Lama dah Riz tak call mummy," ujar Mukhriz dia sedang memandang pemandangan luar biliknya.
Cik Sarah ketawa kecil. Anaknya yang seorang ini ada sahaja cara ingin menceriakan harinya. "Maafkan mummy baby boy. Mummy sibuk sikit. Tapi, mummy pun rindu dengan anak mummy yang seorang ni."
"Mummy..." panggil Mukhriz perlahan.
"Yes, my dear."
"Mummy tak nak cari pengganti walid?" tanya Mukhriz.
Cik Sarah menarik nafas dalam. "Walid ialah cinta terakhir mummy, Riz. Walid terima semua kekurangan mummy. Mummy tak ada hati nak cari pengganti walid. Lagipun mummy happy dengan hidup mummy sekarang," jawab Cik Sarah tenang.
"Maaf mummy, sebab tanya macam tu."
"It's ok my dear. Mummy tahu anak mummy ni risaukan mummy kan? Don't worry my dear, mummy ok. How about your study?" tanya Cik Sarah.
"Ok je mummy. Tapi tulah penat sikit," adu Mukhriz.
"Jangan paksa diri, sayang. Nanti sakit," nasihat Cik Sarah.
"Baiklah mummy. Mummy jangan risau ye, Riz ok. Mummy doakanlah untuk Riz."
"Mummy selalu doa untuk anak mummy ni."
"Thanks mummy. Love you very much," ucap Mukhriz. Senang hatinya mempunyai seorang lagi ibu yang memahami. Dia tidak peduli kata orang tentang mak tiri jahat.
"Love you too, my dear. Beberapa hari lagi nak percubaan kan? Buat yang terbaik, ok?"
"Ok mummy," jawab Mukhriz.
"Oh! My baby boy, mummy kena bukak pintu. Nanti mummy call lagi ok?"
"Baiklah mummy, Assalamualaikum."
"Wa'alaikumussalam," balas Cik Sarah.
Pintu bilik dibuka oleh Cik Sarah.
"Papa nak cakap sikit dengan kamu," Tan Sri Sulaiman bersuara sedikit tegas.
Cik Sarah hanya mengangguk. Pintu bilik dibesarkan sedikit agar Tan Sri Sulaiman mudah untuk masuk.
"Kamu telefon siapa tadi?" soal Tan Sri Sulaiman.
"Anak," jawab Cik Sarah dengan selamba.
"Anak tiri," balas Tan Sri Sulaiman. Perkataan 'tiri' ditekankan olehnya.
Cik Sarah duduk bertentangan dengan papanya di sofa yang terdapat dalam bilik tidurnya."Pa, tak ada beza anak tiri ke, anak kandung ke, anak angkat ke, ok?"
Tan Sri Sulaiman memandang wajah satu-satunya anak perempuannya itu. "Ada. Anak kandung lahir dari rahim kamu."
Cik Sarah mendengus. "Apa papa nak? Papa nak saya kahwin? Bagi papa cucu?" soal Cik Sarah bertalu-talu. Pa... ketahuilah, papa dah pun ada cucu yang lahir dari rahim Sarah ni. But, I'm sorry, pa. Sarah tak boleh bagi tahu papa hal ni.
"Ya. Beri papa cucu dari darah keturunan kita. Tak kisah dengan siapa pun kamu nak kahwin. Orang miskin pun papa tak kisah," ujar si Ayah.
Cik Sarah menarik nafas dalam."Pa... Sarah dah lama bagi tahu papa pasal ni kan? Berapa banyak kali Sarah nak kena ulang, pa? You know how much I love my husband, right? So, do not force me to marry with someone else."
"Dia dah hampir tiga tahun meninggal Sarah. Hidup perlu diteruskan."
Cik Sarah mendengus lemah. "Pa... kalau lah papa dekat tempat Sarah, papa sanggup ke nak kahwin lain hanya untuk anak? Andailah Sarah dengan arwah abang tak wujud lagi, dan mama pergi terlebih dahulu, apa papa akan kahwin lagi hanya untuk anak? Sedangkan papa cinta sangat dekat mama?" Cik Sarah bertanya bertubi-tubi.
Tan Sri Sulaiman terdiam. Memang mustahil dan susahlah untuknya berkahwin lagi.
"Samalah dengan Sarah pa. Sarah tak boleh terima lelaki lain. Papa tak boleh samakan Sarah dengan Kak Ira. Hanya kerana Kak Ira nak kahwin lagi, papa nak Sarah macam tu jugak. Sarah hanya nak Abdullah yang jadi suami Sarah dunia dan akhirat, pa. Tolonglah faham. Satu lagi, Sarah tak suka papa cakap anak Sarah anak tiri. Ya, memang betul. Tapi Sarah sayang anak Sarah macam anak sendiri. Macam Sarah sayang Aisyah," luah Cik Sarah. Dan... Fikri. sambung Cik Sarah dalam hatinya.
"Baiklah kalau itu keputusan kamu. Bila kamu nak kenalkan anak kamu tu? Dah bertahun dah papa tunggu. Sejak kamu nikah, sejak suami kamu meninggal lagi."
"Pa... dia dah nak ambik SPM tahun ni. Bagilah masa. Riz pun perlukan masa untuk jumpa papa," jawab Cik Sarah.
"Baik," Tan Sri Sulaiman melangkah keluar dari bilik anak perempuannya itu.
Cik Sarah menyandarkan tubuhnya ke sofa. Bukan dia tidak mahu kenalkan, tapi dia takut kalau papanya itu bertindak melulu. Sewaktu berkahwin dulu, anak tirinya baru hendak masuk sekolah rendah. Itupun sekolah madrasah, cutinya sikit berbanding cuti pelajar sekolah lain.
Habis sahaja anak tirinya di sekolah rendah, arwah suaminya pula meninggal selepas beberapa tahun madunya meninggal. Takkan nak kenalkan waktu itu, tak sesuai. Kemudian anak tirinya itu dijadikan anak angkat kepada kawan baik arwah suaminya.
Banyak yang berlaku kepada Mukhriz selama ini, termasuklah saudara angkat kepada anak tirinya itu kemalangan dan meninggal dunia tahun lepas. Kemalangan itu pula melibatkan anak tirinya juga. Mukhriz koma disebabkan kemalangan itu. Tak kan nak kenalkan waktu itu?
Sungguh dia sedang cari masa yang sesuai untuk kenalkan. Dia tahu papanya itu kurang berkenan tatkala dirinya menjadi isteri muda. Jadi dia takut kalau dia kenalkan Mukhriz, papanya tidak dapat terima pula nanti.
Itu belum termasuk dengan memperkenalkan anak kandungnya – Fikri. Ini... kalau papanya tahu memang akan mengamuk besar! Bukan dia sengaja ingin menyorok anaknya itu dari pengetahuan keluarganya. Tapi masalahnya... dia risau kalau dia akan sayangkan Fikri lebih dari Mukhriz.
Tambahan pula... dia kesian melihat keluarga yang menjaga anaknya itu. Mereka tiada anak. Tambahan pula keluarga itu sudah terlalu sayang kepada anaknya. Sebagai ibu yang melahirkan, sudah pasti dia mahu menjaga sendiri Fikri, tapi terlalu banyak masalah sekarang ni.Sebab itulah dia membenarkan anaknya itu tinggal dengan keluarga itu. Setiap bulan ada juga dia hubungi keluarga itu bertanya perihal anaknya. Duit? Setiap bulan dia masukkan ke dalam akaun. Tapi... keluarga yang menjaga Fikri, tak pernah menggunakan duit tersebut!
Cik Sarah mengeluh seketika. Air matanya mengalir perlahan. Dia sangat-sangat rindu sekarang. Rindu pada Fikri dan arwah suaminya. Mukhriz? Itu sudah tentu. Dia sayang Mukhriz macam dia sayang Fikri!
Kabinet kecil yang terdapat di sebelah tempat duduknya dibuka. Gambar lama diambil dan ditatap. Diusap gambar itu. Itulah gambarnya, arwah suamin dan anaknya –Fikri. Gambar tu ditangkap sewaktu Fikri berusia empat bulan. Dia melahirkan Fikri di luar negara sewaktu dirinya masih belajar di negara asing itu.
"Mummy rindu, Fik. Fik... sabar ye? Nanti mummy akan bawak Fik balik. Mummy janji," Cik Sarah mencium gambar itu. Seolah-olah dia mencium anak yang dirinduinya. Air mata makin lebat mengalir ke wajahnya.
"MAKANLAH lagi Kasih. Sikit benar kamu makan tu," Puan Sri Dina meletakkan lagi makanan ke dalam pinggan Nabila.
"Terima kasih, nek," ucap Nabila yang menjamah juga nasi goreng di dalam pinggannya walaupun dia sudah kenyang sangat.
"Makan Bella, makan. Nenek suruh orang gaji masak banyak untuk awak hari ni," ujar Aisyah.
"Haish... awak ni. Meletup perut saya nanti," balas Nabila.
"Bukan selalu," Aisyah menyambung suapannya.
"Banyaklah awak. Ni kalau saya balik ni entah apa yang saya kena habiskan," ujar Nabilasambil tersenyum. Dia yakin dan pasti, pekerja di rumahnya turut menyediakan pelbagai hidangan untuknya.
"Nasib awaklah," jawab Aisyah.
Puan Munirah menggeleng melihat Aisyah dan Nabila berbahas di meja makan. "Kalau asyik bercakap je, bila nak habis makannya?"
"Ala umi ni. Sya sengajalah tak bagi Bella habiskan makan, sebab kejap lagi dia dah nak balik kalau dia habis makan," Aisyah bersuara manja.
Nabila tersenyum sahaja. Kini dia tahu, Aisyah itu manja orangnya tatkala bersama keluarga. Jadi tak mustahil dia menjadi kesayangan ahli keluarganya.
"Nanti kalau dah balik, jangan lupakan kami. Sesekali datanglah sini atau telefon kami, ye?" Tan Sri Sulaiman bersuara.
Nabila mengangguk. "Ye aki. Aki jangan risau ye? Kasih mesti akan datang lagi. Lagipun seronok datang sini," balas Nabila.
Tan Sri Sulaiman tersenyum mendengar apa yang Nabila katakan.
"Sya, kamu dah bagi nombor telefon kami dekat Kasih?" tanya Cik Sarah.
"Dah, semalam. Kan Bella?" Aisyah memandang Nabila.
Nabila mengangguk.
No comments:
Post a Comment