Friday, May 21, 2021

Ikhlaskah Aku? - TEASER 5

 


"KENAPA kalau nak kahwin dengan orang Islam, kena masuk Islam?" Ai mula bertanyakan soalan pertamanya.

Arina yang baru sahaja selesai menanda bahagian seluar yang perlu dipotongnya tersenyum mendengar soalan dari Ai. "Untuk kepentingan bersama."

"Kepentingan bersama?"

"Kalau awak kahwin dengan orang Islam tanpa memeluk agama Islam macam mana nak buat upacara perkahwinan? Adat agama awak lain, macam tu juga adat perkahwinan dalam Islam. Itu baru satu hal."

Arina meletakkan gunting di sisinya dan fokus untuk bercakap dengan Ai. "Hal yang lain pula, katalah awak ada anak nanti. Agama apa yang anak awak nak ikut? Anak awak akan keliru nanti nak pilih agama. Dan banyak lagi lah sebab-sebabnya Ai. Kalau awak nak tahu lebih lanjut, awak kena tanya ustazah la ye."

Ai mengangguk.

Arina menyambung kerja yang tergendala. "Khairil ada cakap yang dia nak kahwin dengan awak ke?" soal Arina.

"Tak."

Arina mengangguk.

"Arina..."

"Hm."

"Macam mana nak masuk Islam?"

Terhenti kerja Arina sekali lagi mendengar soalan dari mulut Ai itu. Lantas gunting ditangan di letakkan di tepi semula dan sekali dia duduk berhadapan dengan Ai. "Kenapa awak nak masuk Islam?" soal Arina dengan nada yang serius.

Bulat mata Ai mendengar soalan yang tidak disangka-sangka dari Arina. Muka Arina yang serius membuat dia dapat agak betapa seriusnya sesuatu hal untuk masuk Islam.

"Awak nak masuk Islam sebab nak kahwin dengan orang Islam?" teka Arina.

"Salah ke?"

Arina mengeluh. "Tak salah nak masuk Islam, tapi... niat awak tu."

"Kenapa dengan niat saya?" Dengan polos Ai bertanya. Dia tidak faham apa kena mengena dengan niat? Niat itu apa?

Arina menggengam tangan Ai. "Ai... untuk masuk Islam, hati awak kena kuat, kena kental. Cabaran yang akan awak lalui sangat besar kalau nak dibandingkan dengan orang yang dah lahir dalam Islam."

Ai hanya berdiam.

"Awak jawab soalan saya ni dengan jujur Ai. Andailah satu hari nanti Khairil tinggalkan awak, awak macam mana?"

"Maksud awak... Khairil akan tinggalkan saya sorang-sorang?" teka Ai.

Arina mengangguk. "Saat awak dah jadi seorang muslimah, Khairil tinggalkan awak. Apa awak akan buat?"

Ai terdiam. Dia tidak pernah terfikir akan hal itu. Lagipun dia yakin Khairil pasti tidak akan meninggalkan dia sekiranya dia sudah memeluk Islam.

"Adakah awak akan kembali pada agama lama awak?" soal Arina lagi.

Ai masih diam.

"Saya tak mahu awak terluka Ai."

"Kenapa awak cakap macam tu?"

"Islam itu sempurna tapi kami penganutnya tak sempurna. Saya takut Khairil akan lukakan awak dan tinggalkan awak saat awak perlukan dia."

"Awak tak suka saya masuk Islam?" teka Ai.

"Bukan macam tu Ai. Masuk Islam kerana cintakan Islam itu berbeza dengan masuk Islam sebab awak cintakan Khairil. Saya takut awak kecewa dan awak akan kembali semula kepada ajaran agama asal awak selepas awak ditinggalkan Khairil nanti. Rugi je awak masuk Islam tapi awak tak rasa apa indahnya Islam tu. Apa seronoknya menganut agama Islam tu sebenarnya," terang Arina panjang lebar.

Ai mengeluh.

"Masuk agama Islam adalah satu perkara yang awak kena fikir semasak-masaknya sebelum awak buat apa-apa keputusan. Agama kami bukan agama yang sewenang-wenangnya untuk masuk dan keluar macam tu je," tegas suara Arina menyatakannya. "Sama juga dengan agama lain, kan?"

"Arina... hati saya nak sangat-sangat tahu tentang Islam."

Kali ini giliran Arina pula terdiam. Dia memang sudah tahu hal itu tapi dia tidak sama sekali menyangka yang Ai akan jujur begini dengannya.

"Mungkin awak tak tahu, dalam diam saya selalu tengok orang lain solat sama-sama, baca Yaasin sama-sama. Hati saya tersentuh melihat semua tu. Macam ada rasa sesuatu. Rasa yang saya tak pernah rasa selama ni. Rasa tenang, seronok dan bahagia, Arina," sambung Ai.

Arina tersenyum. 'Allah dah bagi hidayah rupanya.'

"Saya tak nak rasa ni hilang. Saya nak kekal dengan rasa ni untuk seumur hidup. Betul Arina, saya tak pernah rasa bahagia dan gembira melihat orang solat jemaah, mengaji dan baca Yaasiin macam ni."

"Kalau awak nak masuk Islam, saya menyokongnya. Tapi saya nak ingatkan awak sesuatu."

"Apa?"

"Sekali awak dah masuk Islam, awak akan sentiasa diuji. Awak tak boleh lemah dan putus asa. Ujian yang akan awak hadapi sangat berat tau."

Ai terdiam mendengarnya. Kemudian dia berbalas pandang dengan Arina. "Saya terlalu sayangkan Khairil. Dan saya yakin Khairil tak akan tinggalkan saya keseorangan untuk hadapi semua ni."

"Awak yakin nak masuk Islam?"

Ai mengangguk.

Arina mengukir senyuman pahit. Lantas tubuh temannya itu dipeluk erat. "Kalau awak ada masalah nanti, cari saya ye. Saya ada untuk awak," Arina berbisik kata tersebut di telingga Ai.

Ai hanya mengangguk. "Terima kasih Arina."

Arina mengangguk.



^_^ Terima Kasih Daun Keladi, Kalau Free Datanglah Lagi ^_^

No comments:

Contact Ai Indah


Copyright© All Rights Reserved aiindahsyahindah.blogspot.my