
"ANIS, macam mana? Belajar okey?" tanya Encik Sham.
"Okey je. Just sejak akhir-akhir ni sibuk lah pa. Banyak benda nak kena buat."
"Biasalah, adat hidup seorang student. Just enjoy your studies, baru tak stress," pesan Encik Sham.
Anis mengangguk. Dia tahu, belajar apa pun ada susah senangnya yang tersendiri. Sebab itu minat itu penting. Barulah rasa bersemangat nak belajar lagi dan lagi.
Puan Alin dan Encik Sham, masing-masing tidak pernah memaksa dia mahupun mana-mana adik-beradiknya untuk buat sesuatu yang mereka tidak suka. Mama dan papa mereka akan menyokong apa sahaja minat anak-anak dan berusaha membantu impian anak-anak tercapai.
"Pa... Kali ni, papa pergi lama ke?"
"Macam biasalah sayang. Kalau papa senang, papa datang sini."
Anis berdiam.
"Bila senang, bawaklah adik-beradik datang ke rumah papa dekat sana."
Anis menarik senyum. Teringin sebenarnya mahu ke Kota London tempat tinggal Encik Sham itu tetapi jadual belajarnya menjadi penghalang. Dia cemburu dengan abang dan kakaknya yang pernah ke sana sebelum mereka mulakan kerjaya. Apabila papanya membuat tawaran seperti ini, mahu sahaja dia berkata 'ya' tetapi bukan sekarang. Mungkin selepas dia habis belajar nanti. Lagipun dia takut untuk kesana.
"Kalau macam tu, papa kena belikan tiket la. Tiket pergi balik."
"Mestilah papa belikan tiket pergi balik. Nak tak? Nanti boleh kita jalan-jalan dekat sana. Shopping."
"Tengok dulu lah, pa. Sekarang ni kan Anis busy sikit."
Encik Sham tersenyum sumbing. Dia faham sangat maksud tersurat dan tersirat dari kata anaknya itu. Sibuk konon walhal mengelak untuk ke sana kerana bimbang sudah ada mama tiri.
Bukan dia tidak tahu Nina dan Amri yang buat cerita itu agar Anis tidak mahu ke sana. Sebenarnya, Anis satu-satunya anak yang rapat dengannya sejak lahir sehingga mahu mengikutnya sebaik sahaja dia bercerai dengan Puan Alin dahulu. Kerana itu, Nina dan Amri buat cerita tidak benar itu di atas izinnya agar Anis tetap tinggal di Malaysia bersama mamanya. Tidak dia sangka, sudah berbelas tahun berlalu Anis masih percaya yang dia sudah beristeri baru. Walhal...
"Papa single lagi lah. Don't worry, tak ada siapa dekat rumah tu. Just papa and my driver."
"Okey. Nanti lepas Anis habis belajar, boleh?"
"Bila-bila Anis nak pergi, beritahu je."
"Pukul berapa flight papa?" soal Anis sambil menyedut minuman yang dipesannya tadi.
"Kenapa?"
"Saja tanya. Anyway, papa tak nak jumpa kakak atau abang ke?"
"Kakak kamu tu sama sikapnya macam mama kamu. Busy memanjang. Tapi... selalu juga kakak kamu tu call papa. Yang jarang call tu budak sebelah ni. Busy dengan boyfriend agaknya sampai lupa dekat papa," usik Encik Sham.
"Pa!" Anis menjeling. "Anis tak ada boyfriend la. Kalau ada pun orang tu ialah papa dengan abang je."
Encik Sham ketawa kecil. "Boleh percaya ke? Anak papa yang cantik ni masih single?"
"Papa ni... Anis single la pa. Anis kan tengah study, malas lah nak fikir bab-bab tu."
"Ye lah. Tapikan, mama kamu baya kamu dah kahwin tau dengan papa. Masa tu mama tengah belajar lagi. Dapat kakak kamu tu, time mama baru selamat graduate diploma."
Anis mendengus. "Kalau papa nak menantu, paksa kakak kahwin. Umur kakak tu dah dua puluh tujuh tahun, pa. Masih tak ada tanda-tanda nak kahwin. Jangan suruh Anis ikut jejak mama kahwin masa belajar. Anis tak nak! Tak mampu nak galas dua-dua tanggungjawab besar tu serentak."
Encik Sham meneguk air yang dipesannya. "Kalau kamu dah ada calon, tak salah kalau kamu kahwin dulu."
"Pa!"
Encik Sham ketawa kecil. Suka benar dia mengusik anaknya mengenai bab itu.
"Tu... puteri raja dah sampai," Encik Sham menjuihkan bibirnya ke arah anak bongsunya yang berjalan menghampiri mereka.
Anis membalas lambaian adiknya itu. Gaya macam dah berbulan tak jumpa, padahal baru beberapa hari je. Senang hati tua Encik Sham melihat hubungan erat anak-anaknya yang penuh kasih sayang meski dia dan mama mereka bercerai hidup.
No comments:
Post a Comment